Tuesday 8 October 2013

Latar belakang perniagaan Tan Sri Mustapha Kamal



Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar adalah Pengerusi Eksekutif, MK Land Holdings Berhad, iaitu syarikat pembangunan hartanah yang ditubuhkan pada 2 Ogos 1978 dan disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada 8 Jun 1992.




Asalnya, MK Land Holdings Berhad dikenali sebagai Perfect Food Industries Sdn. Bhd. yang melibatkan diri dalam pembuatan dan penjualan biskut dan bahan makanan melalui kilang mereka di Melaka. Selepas penyenaraiannya di BSKL, ia dikenali sebagai Perfect Food Industries Berhad dan akhir sekali, namanya ditukar kepada MK Land Holdings Berhad pada 27 Ogos 1999.

Namun, pada bulan Jun 2003, MK Land Holdings Berhad menjual semua sahamnya dalam Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd, Markins Corporations Sdn Bhd dan Fairway Review Sdn Bhd dengan harga RM6,739,674. Ini adalah kerana Tan Sri Mustapha bercadang mahu menumpukan perniagaan syarikatnya pada pembangunan hartanah dan pelaburan.

Beliau berjaya membawa status MKland selaku syarikat pengurusan Hartanah yg berjaya membangunkan kawasan-kawasan yg dahulunya agak terpencil dan tidak mendapat perhatian kepada kawasan elit yg lengkap dengan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi seperti kawasan Damansara Perdana, Cyberjaya. MKland juga terlibat dalam industri perhotelan dan tempat peranginan seperti Bukit Merah Laketown resort dan Langkawi Lagoon.



Beliau berani memulakan sesuatu yg baru dengan mengetengahkan cara hidup “e-lifestyle township” yg moden dan berteknologi tinggi di kawasan perumahan dibawah syarikat MKland.Walaupun kebanyakan projek MK Land Holdings Berhad adalah berkos rendah dan sederhana, ini tidak bermakna projek-projek itu menggadaikan mutu. Projek-projek perumahan MK Land Holdings Berhad lengkap dengan kemudahan yang terkini dan berkualiti. maka, tidak hairanlah Tan Sri Mustapha Kamal digelar sebagai "king of affordable house

Latar belakang perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar




Pada tahun 1970-an, perniagaan binatang ternakan bapanya mengalami kemerosotan ekoran tercetusnya wabak kaki dan mulut. Wabak itu merebak ke seluruh Selatan Thailand, Kedah dan Perlis. Semua binatang ternakannya mati begitu sahaja. Sejak itu, Tan Sri Syed Mokhtar mengambil alih perniagaan bapanya dan membuat keputusan untuk tidak lagi melibatkan diri dalam bidang penternakan. Beliau mula menjual daging secara kecil-kecilan.

Beliau pergi dari pekan ke pekan di sekitar Alor Setar bagi membeli daging yang tidak terjual. Beliau kemudiannya membungkus daging itu bersama ais dan menjualnya kembali kepada peniaga Bumiputera dan restoran-restoran di sekitar Alor Setar. Beliau berjaya dalam perniagaan itu. Kejayaan itu menambahkan keyakinan beliau bagi memajukan diri dalam dunia perniagaan.

Daripada perniagaan menjual daging, beliau beralih pula kepada perniagaan pengangkutan. Pada tahun 1972, beliau berjaya mendapat permit bagi empat buah lori Kelas A. Beliau mendapat bantuan pinjaman sebanyak RM110,000 daripada pihak MARA yang digunakannya bagi membeli dua buah lori Mercedes 911LS.

Sebenarnya, seorang peniaga Cina menawarkan sejumlah wang bagi baki dua permit yang tidak digunakannya. Tan Sri Syed Mokhtar enggan dan menyerahkan permit itu kembali kepada MARA. Selepas membeli dua buah lori itu, Tan Sri Syed membuka syarikat pengangkutan yang dinamakan Syarikat Pengangkutan Sentosa dan melantik kerani Cina sebagai pengurus syarikatnya itu.

Tan Sri Syed Mokhtar menggunakan lori-lorinya bagi memulakan perniagaan beras. Syarikat Kenderaan Sentosa masih wujud sehingga ke hari ini dan memiliki lebih daripada 40 buah lori.

Pada tahun 1974, Tan Sri Syed Mokhtar membeli rumah kedainya yang pertama di Jalan Telok Wan Jah di bawah perjanjian sewa beli dengan UDA atau Perbadanan Kemajuan Bandar.

Seterusnya, pada tahun 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah dan memohon lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara yang kini dikenali sebagai Bernas. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Dia berjaya mendapat kontrak bagi membekalkan beras ke pihak FELDA, MARA Senama, Pernas Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor.

Selepas berjaya dengan Syarikat Shah, beliau menubuhkan syarikat usaha sama dengan dua orang peniaga Cina, iaitu Ng Ghiak Gee dan Chua Chong Tan. Ghiak Gee adalah pedagang beras manakala Chong Tan pula pengilang beras.

Dalam syarikat usaha sama itu, Tan Sri Syed Mokhtar memegang 52 peratus kepentingan manakala Ghiak Gee dan Chong Tan masing-masing 32 peratus dan 16 peratus. Perniagaan usaha sama yang diberi nama Bukhary Sdn. Bhd. itu memulakan operasinya pada 15 Julai 1976, di pejabatnya di Jalan Telok Wan Jah.

Perniagaannya terus berkembang daripada beras, beliau kemudiannya mengembangkan perniagaannya kepada komoditi lain, iaitu gula. Ini masih dijalankan sehingga ke hari ini melalui Bukhary Sdn. Bhd. Pendapatan tahunan Bukhary Sdn. Bhd. kini mencecah RM250 juta.

Setahun selepas Bukhary Sdn. Bhd. memulakan operasinya, beliau menubuhkan Bukhary (KL) Sdn. Bhd. pada tahun 1977. Syarikat itu ditubuhkan khas bagi mendapatkan kontrak kerajaan yang pada masa itu banyak ditawarkan kepada usahawan Bumiputera. Operasi Bukhary (KL) Sdn. Bhd. dijalankan di rumah kedai empat tingkat di Jalan Pahang yang juga dibeli melalui perjanjian sewa beli dengan UDA. Usahanya membuahkan hasil lagi.

Tan Sri Syed Mokhtar diberikan kontrak bagi membekalkan beras, teh, tepung coklat, tepung susu dan juga minyak sapi kepada kerajaan. Bahagian bawah pejabatnya diubah suai menjadi pusat pembungkusan. Apabila beliau mendapat kontrak pembekalan itu, Tan Sri Syed Mokhtar menubuhkan Susu Mas Sdn. Bhd. pada tahun 1979. Syarikat itu juga adalah syarikat usaha sama di antara dirinya yang memegang 51 peratus kepentingan dengan New Zealand Milk Products yang memegang saham selebihnya. Produk Susu Mas Sdn. Bhd. dipasarkan di bawah jenama Fernleaf dan Anchor. Pada pertengahan tahun 80-an, Tan Sri Syed Mokhtar menjual kepentingannya dalam Susu Mas Sdn. Bhd. ekoran kemelesetan ekonomi.

Beliau mempunyai strategi sendiri dalam menjalankan perniagaannya, pada tahun 1978, beliau dijemput menyertai delegasi perdagangan ke Ekso Perdagangan Canton, China. Semasa berada di China, Tan Sri Syed Mokhtar menjalankan sistem barter, iaitu menukarkan kokonya dengan teh dari China. Cuma bezanya sistem barter zaman sekarang dijalankan secara besar-besaran atau pukal. Contohnya, menukarkan 1 tan minyak sawit dengan 1 tan minyak mentah.

Selepas mengembangkan perniagaannya bermula daripada bidang komoditi ke pengangkutan, pembungkusan dan barter, beliau kemudiannya melangkah kepada sektor pembuatan iaitu pakaian. Ini ekoran kejayaannya mendapat kontrak membuat pakaian seragam tentera bagi pihak Kementerian Pertahanan. Kontrak itu adalah bagi membekalkan pihak tentera dengan 120,000 pasang kasut dan 330,000 pasang pakaian seragam. Apabila berjaya mendapat kontrak itu, beliau mula mencari pembekal. Pada mulanya, beliau membeli secara terus daripada pengilang.

Selepas membeli daripada pengilang, beliau kemudiannya membuat keputusan menubuhkan dua buah syarikat, iaitu Amtek Holdings bagi mengeluarkan kasut dan Oriental Garments Uniform Division bagi mengeluarkan pakaian. Oriental Garments Uniform Division adalah syarikat usaha sama dengan Oriental Garment yang berpusat di Seberang Prai.









Apabila Amtek Holdings disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 1998, beliau menggunakan wang penyenaraian yang diperolehnya bagi membeli Spark Manshop dan hak bagi mengeluarkan dan memasarkan pakaian berjenama Crocodile. Kini, anak syarikat Amtek Holdings mengeluarkan kasut tentera (Amtek Shoes) dan pakaian berjenama Lee Coopers dan Lois (Amtek Garments Sdn. Bhd.) bagi pasaran eksport.

Tidak cukup dengan perniagaan pakaian, beliau juga bergiat dalam perniagaan perkapalan. Beliau menubuhkan Bukhari Shipping dan mendaftarkannya dengan pihak Perbendaharaan. Bukhari Shipping bertindak sebagai broker kapal di bawah polisi CABOTAGE. Melalui Bukhari Shipping, Tan Sri Syed Mokhtar membeli sebuah kapal buatan Jerman yang berusia 28 tahun pada harga USD1 juta.

Kapal yang diberi nama Angsa Mas itu digunakan bagi mengangkut beras dari Thailand ke Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, perniagaan itu mengalami kerugian yang menyebabkan beliau terpaksa menjual kapalnya pada harga USD600,000, iaitu rugi sebanyak USD400,000 (USD1 juta – USD600,000).

Pada masa yang sama, beliau mula memlibatkan diri dalam sektor pembangunan hartanah. Beliau membeli beberapa bidang tanah di Alor Setar dan memulakan beberapa projek perumahan di bawah syarikat Bukhary Development.

Beliau terlibat dalam projek penswastaan Johor Port Sdn. Bhd. dan Johor Tenggara Oil Palm Sdn.Bhd. Beliau membeli Johor Port melalui tender pada harga RM330 juta. Johor Tenggara Oil Palm Sdn. Bhd. pula dibelinya pada harga RM135 juta. Melalui Johor Port Sdn. Bhd., beliau menjayakan projek Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Pelabuhan Tanjung Pelepas

Kini, Pelabuhan Tanjung Pelepas semakin maju hingga mereka berjaya meyakinkan dua buah syarikat perkapalan antarabangsa, iaitu Maersk Sealand dari Denmark dan Evergreen Marine dari Taiwan supaya berpindah dari Pelabuhan Singapura ke Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Projek penswastaan ketiganya adalah penswastaan air yang mana beliau menubuhkan Equiventure Sdn. Bhd., iaitu syarikat usaha sama di antara syarikatnya, Kembangan Dinamik dan Pilecon Bhd. serta syarikat Perancis, Oneo. Pegangan Kembangan Dinamik dalam syarikat itu adalah sebanyak 49 peratus.



Beliau membeli MMC Corporation, iaitu syarikat kejuruteraan pada harga RM3 sesaham daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB). Tan Sri Syed Mokhtar juga memiliki 22.7 peratus pegangan dalam Malakoff Berhad, iaitu syarikat pembekalan elektrik dan 20 peratus pegangan dalam IJM Corporation Berhad di mana perniagaan utamanya adalah pembuatan.




Selain itu, beliau memiliki 18 peratus pegangan dalam Bernas yang terlibat dalam perdagangan beras dan 32 peratus pegangan dalam Pernas International Holdings Berhad, iaitu konglomerat yang terlibat dalam banyak sektor perniagaan. Manakala 18.7 peratus pegangan dalam Fiamma Holdings Berhad, syarikat pemasaran dan pengedaran barangan elektronik serta 100 peratus kepentingan dalam MPH, iaitu syarikat peruncitan dan pengedaran buku.


Latar belakang kehidupan Tan Sri Mustapha Kamal



Tan Sri Mustapha adalah seorang bekas penuntut Universiti Malaya dalam jurusan Sejarah. Selepas menamatkan pengajian dari Universiti Malaya pada tahun 1970, beliau telah memulakan kerjaya dalam perkhidmatan Kerajaan di Pejabat Daerah dan Tanah Selangor sebagai Penolong Pegawai Daerah sehingga dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tanah & Galian Selangor. Kemudian beliau beralih ke sektor swasta di mana beliau telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Shah Alam Properties Sdn. Bhd.

Pada peringkat kerjaya inilah beliau mula memperkukuhkan pelbagai kemahiran, pengetahuan, pengalaman dan kecekapan yang diperlukan dalam pembangunan hartanah sehingga beliau mempunyai keyakinan sepenuhnya untuk memulakan usaha perniagaan sendiri. Ini telah mendorong beliau menubuhkan Kumpulan Syarikat EMKAY pada tahun 1983.

Berbekalkan pengalaman sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tanah dan Galian serta pengalaman selama kira-kira 21 tahun dalam industri pembangunan hartanah, Tan Sri Datuk Hj Mustapha Kamal dikenali sebagai seorang Pengerusi Eksekutif yang aktif dan praktikal, dalam menyelia dan menentukan sendiri hala tuju operasi Kumpulan dengan merangka wawasan serta matlamat, pada masa yang sama, mencurahkan pengetahuan luas yang beliau miliki dalam industri kepada kakitangannya.

Latar belakang kehidupan Tan Sri Syed Mokhtar




Tan Sri Syed Mokhtar dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1951. Keluarganya berasal dari Hadhramaut, Yemen. Sebelum mengambil keputusan menetap di Kedah, bapanya mengembara hingga ke Asia Tengah untuk berniaga. Seterusnya, bapanya ke Thailand. Pada pertengahan tahun 40-an, barulah bapa Tan Sri Syed Mokhtar mengambil keputusan menetap di Alor Setar, Kedah. Pada tahun 1946, bapanya mendirikan rumah tangga.

Tan Sri Syed Mokhtar mempunyai tujuh orang adik beradik dan dia adalah anak yang ketiga. Tan Sri Syed Mokhtar hidup dalam keadaan yang serba kekurangan hinggakan rumah kayunya yang terletak di Kampung Hutan Keriang tidak mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Ini menyebabkan beliau susah hendak menelaah.


Pendidikan Tan Sri Syed Mokhtar hanyalah sehingga SPM sahaja. Beliau memulakan persekolahannya di Alor Setar tetapi apabila beliau berusia 9 tahun, beliau dihantar tinggal bersama-sama dengan bapa saudaranya, Syed Omar di Johor Bahru. Beliau berada di situ dari darjah empat hinggalah ke tingkatan dua. Tan Sri Syed Mokhtar kemudiannya kembali ke kampung halamannya di Alor Setar dan menyambung persekolahannya hingga ke tingkatan lima di Sekolah Saint Micheal's.


Beliau tidak pernah belajar hingga ke peringkat universiti. Namun, ini tidak bermakna beliau seorang yang tidak berilmu. Kebanyakan ilmunya diperoleh melalui pengalaman secara langsung apabila beliau bergiat dalam dunia perniagaan sejak kecil lagi.


Disebabkan keadaan keluarganya yang kurang berkemampuan, Tan Sri Syed Mokhtar membantu ibunya menanam sayur-sayuran bagi menampung pendapatan keluarga. Mereka menjualnya di pasar di Jalan Telok Wan Jah. Beliau juga menjual roti canai di pasar yang sama.


Semasa waktu rehat di sekolah pula, ayahnya akan menemuinya di sekolah dan memintanya membuat simpan kira-kira. Selepas waktu sekolah, Tan Sri Syed Mokhtar membantu menggembala haiwan peliharaan bapanya di pusat kuarantin berdekatan dengan stesen kereta api Alor Setar. Beliau banyak menimba ilmu dan pengalaman semasa melakukan kerja-kerja itu.

Monday 7 October 2013

TAN SRI DATUK (DR) HJ MUSTAPHA KAMAL BIN HJ ABU BAKAR


BIODATA RINGKAS















Tarikh Lahir : 18 Mac 1949
Tempat Lahir : Kampung Changkat, Pusing, Perak
Pendidikan : Bachelor’s Degree in History, Universiti Malaya
Mula Berniaga : 1983
Jawatan : Pengerusi EMKAY Group
                : Pengerusi MK Land Holdings Berhad
                : Pengerusi Setia Haruman Sdn. Bhd.

Hobi : Muzik, Berkebun dan Membaca

TAN SRI SYED MOKHTAR AL BUKHARY

BIODATA RINGKAS
















Tarikh Lahir : 1951

Tempat Lahir : Alor Star, Kedah

Pendidikan : Sekolah Saint Michael, Alor Star (SPM)

Mula Berniaga : 19 Tahun

Isteri : Puan Sri Sharifah Zarah

Nama Bapa : Syed Nor Albukhary

Nama Ibu : Sharifah Rokiah Syed Mohamed Rahmat

Nilai Kekayaan : RM 10.6 Bilion (Ke -5 Terkaya di Malaysia,2013)